Dato’ Dr Hasan Hj Mohd Ali

Assalammualaikum dan selamat sejahtera,

Terima kasih kerana mengunjungi laman web rasmi JATI – Gerakan Martabatkan Umat. Di bawah ini adalah pendapat dan juga pendirian saya bersama JATI serta apa yang sedang berlaku selama ini. Saya berharap agar masa yang anda luangkan bersama di laman web ini akan dapat memberikan manfaat dan juga jawapan kepada apa yang anda cari selama ini.

JATI NGO


JATI ialah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menggerakkan massa ke arah membentuk masyarakat madani. Tiga tonggak utama gerak kerja JATI disimpulkan sebagai IMR iaitu mengagungkan Islam, memartabatkan Bangsa Melayu dan mendaulatkan Institusi Raja.

Bagi saya, langkah untuk membuka ruang untuk memilih dengan lebih luas adalah penting terutama dalam konteks membangun sebuah negara. Rakyat perlu diberi spektrum pemilihan yang beraneka. Saya yakin rakyat Malaysia yang rata-ratanya educated dapat membezakan yang mana intan yang mana kaca. Kami di JATI cuba memberikan yang terbaik demi menjunjung tiga tonggak keramat yang disebut tadi.

Seperti yang kita sedia maklum, faktor perpecahan sering dikaitkan dengan perbezaan fahaman politik. Unit keluarga, kejiranan, komuniti dan masyarakat luas berpecah belah disebabkan perbezaan fahaman politik dan ketaksuban melampau. Ketiga-tiga tonggak perjuangan JATI yang disimpulkan sebagai IMR (Islam, Melayu dan Raja) akan dijadikan pemangkin kepada penyatuan umat.

Dengan bantuan pakar-pakar, kita telah mula merangka pelan penyatuan umat berpandukan kepada tiga tonggak tiang seri tersebut. Selain daripada itu barisan kepimpinan JATI disaring dengan teliti supaya mereka benar-benar mempunyai kebolehan dan kemampuan yang diperlukan.

Selain daripada kelulusan akademik, pengalaman dan rekod perkhidmatan serta penglibatan dalam gerak kerja sosial, saf kepimpinan JATI dimestikan mempunyai rekod penghayatan Islam dan karakter moral yang bersih. Kualiti ini perlu bagi pimpinan JATI terjun ke masyarakat membawa mesej perpaduan.

FORMULA JATI


JATI mempunyai formula dan rangkaian tersendiri untuk mewujudkan perpaduan sejati. Selain daripada menyalakan api perpaduan secara berterusan, JATI juga akan menjalin kerjasama secara networking dengan pertubuhan-pertubuhan yang sedia ada.

Syaratnya hanya satu.
Pertubuhan-pertubuhan yang terlibat harus bekerja atas nama IMR dengan semangat kerjasama dan persefahaman merentasi ideologi politik, ketaksuban kepada pemimpin atau mempunyai ciri-ciri superiority tersembunyi. Rangkaian kerjasama diikat dengan prinsip bukan untuk bersaing tetapi bergabung atas prinsip complementarity dan supplementarity.

Dengan kata lain rangkaian atau jalinan yang diujudkan bukan sahaja dapat dilihat dengan mata dan didengar dengan telinga tetapi lebih dari itu terjalin atas semangat keimanan yang berpanjangan.

JATI tidak menghalang mana-mana ahli untuk terlibat secara langsung dalam gerak kerja politik termasuk bertanding dalam pilihan raya. Mungkin ada di antara ahli JATI merasakan wujudnya keterbatasan untuk menyumbang sekiranya terikat dengan JATI sahaja.

Sebaliknya melalui saluran politik ruang lingkup untuk menyumbang lebih terbuka luas hingga kepada pembentukan dasar dan mempunyai akses kepada pelbagai sumber yang menjadi pra-syarat utama kepada kejayaan gerak kerja mana-mana pertubuhan.

KEAHLIAN JATI



Keahlian JATI terbuka kepada semua warganegara Malaysia yang sudah mencapai umur akil baligh. Umumnya, keahlian JATI mempunyai 4 kategori.Kategori Pertama (AHLI KELAB)

Kategori Kedua (AHLI BIASA)Kategori Ketiga (AHLI KEHORMAT)Kategori Keempat (AHLI BERSEKUTU)

Pada sebarang masa dan ketika, pimpinan JATI sentiasa berlapang dada menerima siapa sahaja untuk memberi khidmat bakti masing-masing. Kami sentiasa sedar dan insaf bahawa JATI beroperasi dalam lingkungan masyarakat majmuk. Atas dasar itu falsafah yang terkandung di dalam kebijaksanaan, hikmah atau wisdom sentiasa menjadi amalan.

JATI juga tidak meminggirkan mana-mana anggota masyarakat yang ingin menyumbang dalam usaha membina negara berteraskan kepada IMR. JATI tidak bersifat eksklusif sebaliknya JATI bersifat inklusif. Masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam dialu-alukan menjadi ahli kehormat untuk sama-sama menjalankan tugas berat membawa negara ke kemuncak kejayaan.

AHLI JATI



Kita telah membuka laman portal iaitu www.jalur3.org. Sila layari laman ini atau e-mel terus kepada salam@jalur3.org.

JATI juga telah menyiapkan websitenya – www.jatimalaysia.org yang dijangka beroperasi mulai daripada tarikh pelancaran iaitu 21 Februari nanti.

MASA DEPAN JATI



Secara jujur saya nampak masa depan JATI begitu cerah. Pandangan optimistik saya ini Insya Allah akan menjadi kenyataan. JATI akan menjadi mekanisme utama kepada penyatuan umat di negara ini. Saya menaruh keyakinan yang sangat tinggi kepada teman-teman yang sejak tiga bulan yang lalu bertungkus lumus memerah otak dan tenaga untuk menjayakan JATI tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

Saya juga yakin kepada rakyat di negara ini yang selama ini tertunggu-tunggu kelahiran pertubuhan seperti JATI untuk mereka menumpang sama-sama belayar dalam sebuah bahtera menuju ke pulau bahagia berlandaskan kepada IMR.

Saya berpendapat semua pihak sudah berada di gerbang kebijaksanaan setelah lebih setengah abad mencapai kemerdekaan dan sama-sama berusaha membina negara tercinta ini. Malah saya juga yakin kepada kebijaksanaan yang dimiliki oleh semua golongan rakyat tidak kira bangsa, agama dan fahaman politik.

Bersama-sama kita dapat melahirkan gambar besar buat negara Malaysia yang kita harap-harapkan. Masa untuk menumpu kepada gambar-gambar kecil yang bertaburan sudah berlalu. JATI bersama dengan pertubuhan-pertubuhan yang lain akan memungut gambar-gambar kecil untuk dijadikan gambar raksaksa. Di dalamnya tercermin Bangsa Malaysia yang maju dalam pengertian holistiknya untuk memacu ke hadapan menongkah segala halangan untuk mendepani dekad-dekad dan abad-abad berikutnya.

HARAPAN JATI



Saya mengharapkan JATI diterima oleh semua rakyat Malaysia. Saya juga mengharapkan seluruh ahli JATI menyediakan diri bersedia berada di barisan hadapan untuk melihat umat menjadi maju berlandaskan IMR.

Akhirnya saya berharap Allah SWT menerima sedikit sumbangan dari saya dan teman-teman semata-mata untuk mendapatkan redaNya. Moga tercatitlah di dalam buku catitan amal kami bahawa pernah seketika dalam hidup kami diizinkan untuk melangkahkan bagi memartabatkan umat.