SIGNIFIKANS AKRONIM JATI DENGAN “POKOK JATI”

Nama JATI sebenarnya di ambil dari pokok jati. Seperti yang kita semua sudah sedia maklum, pokok jati adalah suatu ciptaan Allah SWT yang sungguh istimewa kerana memiliki ciri-ciri sedia ada yang sangat mencerminkan teras-teras perjuangan JATI sebagai sebuah wadah alternatif umat.

  • Ia dari spesis kayu keras, membawa erti bahawa JATI berazam untuk bersifat cekal, berpendirian teguh dan tidak akan mudah lentur dengan cabaran.
  • Ia mengeluarkan bunga-bunga putih lagi harum, membawa erti bahawa JATI berhajat untuk melahirkan natijah-natijah yang suci serta bersifat kembali ke fitrah, sejajar dengan kehendak golongan yang bertaqarrub kepada Allah SWT.
  • Ia mampu mencapai ketinggian sehingga 40 meter, membawa erti bahawa JATI berazam untuk menjadi wadah berwawasan jauh dengan memegang pada piawaian prestasi yang cemerlang.
  • Ia boleh didapati dalam pelbagai habitat dan keadaan cuaca, membawa erti bahawa JATI tidak rigid atau kekok untuk bergerak secara versatil, relevan, inklusif, malah berazam untuk bertindak mengikut senario yang dihadapi tetapi tidak sehingga berkompromi dengan perkara-perkara yang tidak boleh dikompromikan.
  • Ia mempunyai susunan dan hala serat serta tekstur yang baik, membawa erti bahawa gerak kerja JATI akan bersifat teratur dan mudah disenangi atau didekati.
  • Ia tahan dengan cuaca yang lasak, membawa erti bahawa ia mampu berhadapan dengan dugaan.
  • Ia diguna untuk sentuhan terserlah dalam binaan, membawa erti bahawa JATI memiliki daya tarikan bagi mereka yang menghayati agenda perjuangannya.
  • Ia mengandungi silica, membawa erti bahawa JATI berhasrat untuk meninggalkan kesan yang baik lagi berpanjangan kepada sesiapa yang mendekatinya.
  • Ia mampu bertahan terhadap serangan anai-anai serta serangga perosak, membawa erti bahawa JATI tidak akan mudah goyah.
  • Ia mahal apabila matang, membawa erti bahawa ia kaya dengan pengalaman, ilmu serta jatidiri para penggeraknya.
  • Ia tidak perlu pada penyelenggaraan rumit dan kompleks, membawa erti bahawa JATI akan menitikberatkan kualiti para penggeraknya melalui usaha ahli-ahlinya yang memang pakar dalam pembentukan rohani, jasmani, aqli dan emosi.

Dengan izin Allah, JATI akan menjadi sebuah organisasi yang dapat membantu masyarakat lebih-lebih lagi dalam usaha memurnikan aqidah.