Kenyataan akhbar Dato’ Hasan bin Mohamed Ali – Ahli Dewan Undangan Gombak Setia merangkap Presiden JATI

Rakyat Malaysia diberitahu oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) bahawa posisi yang beliau ambil terhadap Israel seperti yang terkandung dalam temuramah dengan Wall Street Journal pada bulan Januari yang lalu.

DSAI juga telah menemui Tuan Guru Mursyidul Am PAS untuk menerangkan kedudukan yang sebenarnya. Selepas pertemuan tersebut beliau memaklumkan bahawa Tuan Guru Mursyidul Am PAS faham dan mengambil maklum mengenai kedudukan isu tersebut seperti yang diperjelaskan olehnya.

Ketua Dewan Ulamak PAS YB Dato’ Harun Taib mengambil pendirian untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai butir-butir pertemuan di antara Tuan Guru Mursyidul Am dengan DSAI sebelum membuat apa-apa kenyataan.

Presiden PAS sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan keras mengatakan bahawa “haram mengiktiraf negara yang haram” dan sehingga ini belum mengeluarkan apa-apa kenyataan terhadap pertemuan Tuan Guru Mursyidul Am PAS dengan DSAI itu. Terdapat juga kalangan ulamak yang lebih cenderung mengambil pendirian bahawa isu tersebut patut di bawa semula ke Majlis Syura.

Hari ini media perdana di negara ini telah memaparkan kenyataan oleh Dr Mousa Abu Marzook, Pengerusi Biro Politik HAMAS yang menyangkal kenyataan DSAI mengenai isu ini. Beliau menegaskan bahawa HAMAS sama sekali tidak akan mengiktiraf Israel kerana bagi HAMAS negara itu tidak sah kewujudannya di muka bumi.

Kenyataan ini dengan sendirinya menjelaskan betapa DSAI telah menipu rakyat Malaysia dan memutarbelit kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini semata-mata untuk mencapai tujuan politiknya.

Saya dengan ini menyarankan supaya:

A. DSAI menarik semula kenyataan yang dibuat sebelum ini yang menyokong usaha membantu mempertahankan keselamatan Negara Israel berikutan dengan kenyataan terbaru daripada pimpinan HAMAS yang dipaparkan dalam media hari ini;

B. Tuan Guru Mursyidul Am PAS membawa semula isu ini untuk dibincangkan dalam Majlis Syura Ulamak PAS supaya ahli-ahli Majlis Syura PAS dapat melihat semula perkara ini dalam perspektif yang lebih sahih;

C. DSAI harus berhenti menggunakan nama-nama pimpinan Palestin dan ulamak-ulamak terkemuka dunia untuk dijadikan bahan mempertahankan posisi yang beliau ambil terhadap isu ini yang ternyata tidak benar;

D. DSAI memohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam di Malaysia, Palestin dan masyarakat dunia terhadap kenyataan beliau yang secara jelas mengkhianati perjuangan umat Islam seluruhnya dan jauh bertentangan dengan realiti yang sebenarnya.

YB DATO DR HASAN MOHAMED ALI
153B, Jalan Aminudin Baki Taman Tun Dr Ismail
Kuala Lumpur
2 Mac 2012