Kenyataan Dato Dr Hasan Ali terhadap tindakan Patrick Teoh menghina Islam

Terdapat satu lagi isu yang kini hangat diperkatakan menerusi laman sosial. Isu tersebut melibatkan Patrick Teoh seorang pengamal seni hiburan yang terkenal di negara ini.

Dalam kekecohan dan kehangatan masyarakat memperkatakan isu kalimah Allah dan Amanat Hj Hadi, tiba-tiba muncul Patrick Teoh menyuarakan pendapat yang sangat bertentangan, menghina Islam dan menghiris hati orang-orang Melayu Islam khasnya.

Beliau yang memberi komen mengenai peraturan yang dibuat oleh kerajaan PAS Negeri Kedah berkenaan susunan dan cara, serta pengisian sambutan Tahun Baru Cina yang hendak di adakan di Alor Setar sempena menyambut perayaan Tahun Baru Cina bulan Februari ini.

  • Bagaimanakah Patrick Teoh boleh mengeluarkan kenyataan menghina Islam seperti dipaparkan oleh screen shot di atas?
  • Apakah niat di sebalik kenyataan itu yang dikeluarkan oleh seorang yang sudah begitu lama tinggal di Malaysia? Tambahan lagi, beliau bukanlah budak-budak!

Info selanjutnya…

Dalam kenyataannya Patrick Teo mempersoalkan tentang solat 5 waktu dan etika berpakaian di kalangan peserta yang bakal menjayakan majlis itu. Beliau seolah-olah mencemuh dan meremehkan peraturan yang dikeluarkan dan menganggap peraturan sedemikian tidak selari dengan selera masyarakat majmuk di Malaysia.

Setakat yang saya layari laman-laman sosial yang ada, di kalangan artis-artis sendiri menempelak pendapat Patrick Teoh seorang yang bukan Islam cuba mempersoalkan peraturan-peraturan yang sedikit mencerminkan unsur-unsur keislaman yang didapati begitu serasi dengan masyarakat yang majoriti besarnya adalah Melayu Islam seperti di Kedah.

Setakat yang saya pernah mengikuti kerjaya Patrick Teoh dalam bidang seni, beliau bukan merupakan seorang yang bermasalah. Dalam banyak hal beliau banyak menyumbang kepada kemajuan dunia seni dan perfileman Melayu khasnya. Sudah tentu majoriti peminat Patrick Teoh ialah dari kalangan masyarakat Melayu Islam sendiri.

Saya cenderung mempercayai bahawa perubahan yang agak mendadak dari segi pemikiran dan sikap Patrick Teoh itu adalah disebabkan oleh penglibatan beliau dalam dunia politik diakhir-akhir ini.

Beliau dikatakan terlibat secara langsung dalam program-program politik anjuran DAP dan setengah pimpinan DAP memberi sanjungan yang tinggi terhadap Patrick Teoh sehingga beliau dikatakan berpotensi besar untuk menjadi ahli politik yang berwibawa.

Jelas kelihatan bagaimana contoh seorang yang tidak ada kecenderungan politik (apolitical) sebelum ini yang telah mengukir nama dibidang profesionalnya, tiba-tiba menjadi begitu lantang, cauvinis dan rasis dalam menyuarakan pandangan mengenai sesuatu isu hingga lupa dan lalai memberi pertimbangan terhadap kewajaran terhadap pandangan sedemikian.

Inilah bahananya jika seseorang merelakan dirinya dijadikan alat politik oleh parti politik yang cauvinis dan rasis yang sememangnya membuka ruang dan peluang seluas-luasnya kepada mereka yang berbakat untuk dijadikan orang-orang hadapan (frontliners) untuk menyuarakan ideologi parti tersebut.

Saya berpendapat tindakan yang tidak bijak oleh Patrick Teoh akan mengudang padah dan akan mencalarkan imej baiknya dikalangan peminat-peminat masyarakat Melayu Islam. Kedua, saya yakin parti yang cuba menunggangi Patrick adalah untuk kegunaan terdekat terutama menjelang PRU ke 13.

Mereka tidak mengambil banyak perhitungan kepada karier dan sumber rezeki Patrick Teoh. Ketiga, saya tidak fikir parti berkenaan berupaya mempertahankan Patrick Teoh daripada serangan berbagai pihak kerana parti berkenaan sudahpun mempunyai timbunan isu yang sebahagian besarnya belum ditangani.

Saya berharap pihak-pihak yang berwajib tidak memandang ringan isu ini dan perlu segera mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas kelancangan Patrick dalam menghina Islam supaya tidak akan tumbuh lagi anakbenih-anakbenih seperti Patrick Teoh di negara ini pada masa hadapan.

YB DATO DR HASAN MOHAMED ALI
Presiden JATI Malaysia
TTDI, Kuala Lumpur
17 Januari, 2013